Thursday, 23 July 2015

Kucing Merajuk




Saat Bahagia Sussy
Sumber Foto: Koleksi Peribadi



Sussy Merajuk
Sumber Foto: Koleksi Peribadi

Betul ke ada kucing yang merajuk? Saya tak pastilah. Kena tanya vet. Tetapi yang pasti, kucing siam (coklat dan krim) yang bernama Sussy marah betul dengan kedatangan kucing baru silang maine dan parsi yang bernama Shiro (hitam putih). Sampai kena pujuk. Sophie yang merupakan adik-beradik Sussy juga tidak sukakan Shiro.




Sussy marahkan Shiro sampai nampak taring dan keluarkan bunyi amaran..zsst...
Sumber Foto: Koleksi Peribadi


Sussy dan Sophie ambil masa lebih kurang empat hari untuk menerima kehadiran Shiro. Saya terpaksa kurungkan Shiro dalam sangkar supaya tidak 'dikerjakan' oleh Sussy dan Sophie. Secara umumnya kitten seperti Sussy dan Sophie perlukan masa selama seminggu untuk menerima kehadiran kucing baru.

Dalam kes saya, Sussy (male kitten) lebih cepat menerima kehadiran Shiro (male baby cat) berbanding dengan Sophie (female kitten).

Kini dua minggu telah berlalu, ketiga-tiga ekor kucing begitu rapat sekali. Seolah-olah Sussy tu elder brother dan Sophie pula elder sister kepada Shiro. Haha.

Monday, 20 July 2015

Kucing Pemarah (Grumpy Cat)



Kucing Pemarah (Grumpy Cat)
Sumber Foto: Google

Kucing dalam gambar di atas telah menjadi terkenal sebagai selebriti internet. Kucing ini dikenali di seluruh dunia dengan panggilan grumpy cat, iaitu kucing pemarah.

Grumpy cat secara semulajadi memiliki ekspresi wajah seperti sedang marah pada setiap masa, walaupun dalam keadaan yang tidak marah. 

Grumpy cat memiliki ekspresi wajah marah secara semulajadi kerana telah mengalami kecacatan genetik.

Nama asalnya ialah Tardar Sauce, lahir pada bulan April 2012. Grumpy cat mengalami kecacatan genetik, namun dengan kecacatan tersebut grumpy cat berjaya menjana pendapatan melalui penerbitan dua buah buku, filem dan pelbagai produk lain.

Walau bagaimanapun, pemiliknya Tabatha Bundesen enggan memberitahu jumlah sebenar pendapatan yang telah berjaya dijana oleh grumpy cat.

Bagi mengetahui kisah lanjut tentang grumpy cat, klik di sini (Business Insider Malaysia: Tech) atau klik di sini (Wikipedia) atau klik di sini (Grumpy Cat).

Jika ingin melihat lebih banyak gambar grumpy cat, sila taip perkataan grumpy cat pada image di google).

Jom layan sebahagian daripada gambar-gambar tersebut.



Kucing Pemarah (Grumpy Cat)
Sumber Foto: Google



Kucing Pemarah (Grumpy Cat)
Sumber Foto: Google




Kucing Pemarah (Grumpy Cat)
Sumber Foto: Google




Kucing Pemarah (Grumpy Cat)
Sumber Foto: Google




Kucing Pemarah (Grumpy Cat)
Sumber Foto: Google




Kucing Pemarah (Grumpy Cat)
Sumber Foto: Google




Kucing Pemarah (Grumpy Cat)
Sumber Foto: Google




Kucing Pemarah (Grumpy Cat)
Sumber Foto: Google





Kucing Pemarah (Grumpy Cat)
Sumber Foto: Google





Kucing Pemarah (Grumpy Cat)
Sumber Foto: Google


Amboi garangnya! Haha

Sunday, 19 July 2015

Vaksinasi Kucing



Kucing yang divaksin disuntik di bahagian belakang yang berdekatan dengan tengkuk
Sumber Foto: Google

Gambar di bawah adalah anak kucing milik saya yang diberi nama Shiro. Shiro berumur dalam lingkungan dua bulan lebih dan akan divaksin buat pertama kalinya. Shiro adalah silang kucing Maine Coon dan Parsi.


Gambar Ketika Kali Pertama Kami Tengok Shiro di Pet Shop
Sumber Foto: Koleksi Peribadi

Kos vaksin termasuk pemeriksaan doktor, ubat cacing dan beberapa suap wet food adalah RM35. Bagi saya kos tersebut worth it kerana dapat menyelamatkan nyawa kucing. 

Berdasarkan pengalaman saya, kucing yang disuntik vaksin secara berkala didapati lebih berdaya tahan melawan penyakit. Contohnya penyakit FDL (leukimia). Kucing yang tidak divaksin tidak mampu melawan penyakit dan boleh mengakibatkan kematian, klik di sini (Kucing Terbuang).

Kucing yang telah divaksin walaupun diserang FDL (leukimia), kucing-kucing tersebut tidak akan berhadapan dengan kematian (hidup dan mati ditentukan oleh Allah SWT). 

Kucing yang divaksin secara berkala, walaupun diserang penyakit tersebut, mungkin hanya demam dan sakit tetapi tidak sampai ke tahap meragut nyawa (Allah SWT yang menentukan hidup dan mati bagi setiap yang bernyawa). 

Kita sebagai manusia perlulah berusaha mengelakkan kesakitan/kematian kucing di bawah jagaan/peliharaan kita. Caranya adalah dengan mengambil langkah pencegahan melalui vaksinasi terhadap kucing. Mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Suntikan vaksin secara berkala di klinik swasta boleh dilakukan kepada anak-anak kucing yang telah mencapai umur lebih sebulan. 

Jika di klinik kerajaan, suntikan vaksin hanya boleh dilakukan setelah anak-anak kucing mencapai umur tiga bulan.

Berdasarkan pengalaman saya, suntikan vaksin secara berkala di klinik swasta dilakukan sebanyak tiga kali berturut-turut. Kos untuk setiap suntikan vaksin adalah RM35. 

Jarak masa untuk setiap suntikan adalah setiap tiga minggu. Syarat lain untuk vaksinasi adalah anak-anak kucing atau kucing mesti dalam keadaan sihat.

Bagi tujuan itu, doktor akan memeriksa suhu badan kucing dengan menggunakan termometer. 

Selain itu, doktor juga turut menyuapkan wet food menggunakan wooden stick (macam stick ais krim). 

Bagi anak-anak kucing atau kucing yang sihat, wet food itu akan dimakan. Sebaliknya, bagi kucing yang sakit teruk wet food tersebut tidak akan dimakan.

Selepas suntikan vaksin secara berkala sebanyak tiga kali berturut-turut, suntikan seterusnya adalah setahun selepas tarikh suntikan vaksin yang ketiga.



Kucing yang sudah besar masih perlu divaksin
Sumber Foto: Google

Friday, 17 July 2015

Kucing Kampung Terbiar



Keadaan fizikal kucing-kucing ini jauh lebih baik jika dibandingkan dengan Abby
Sumber Foto: Google


Tempat tinggal saya adalah kawasan kampung. Di sini banyak kucing-kucing kampung terbiar. Hidup segan mati tak mahu. Kesian sangat.

Ada seekor kucing tu sekejap-sekejap luka dan sekejap-sekejap sembuh. Ada masanya luka lama belum sembuh, luka baru pula yang muncul.

Setompok-setompok bulunya tecabut sehingga mendedahkan kulit bahagian bawahnya. Menakutkan dan mengerikan sekali apabila melihat kulit bawahnya kemerah-merahan.

Walaupun saya hanya memandangnya sahaja, saya seolah-olah dapat merasakan kesakitannya. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Syukur, buat masa ini saya perhatikan lukanya agak kering. Saya berharap pada masa akan datang, kucing ini tidak akan mengalami luka lagi.

Saya tidak pasti bagaimana keadaan tersebut berlaku. Adakah kerana bergaduh dengan kucing liar yang lain atau dikejar musang atau anjing. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu.

Saya ingin menghulurkan bantuan kepadanya tetapi apakan daya saya. Apabila nampak sahaja saya di halaman rumah, kucing yang saya namakan sebagai Abby ini terus cabut lari. Jika hendak melihatnya, adalah dari sebalik langsir secara curi-curi.

Setiap hari Abby datang makan dry food di kawasan rumah. Oleh itu, saya cuba mengambil peluang mendekatinya untuk menyapu ubat luka atau iodin yang saya perolehi dari kilinik swasta. Namun, kucing kampung yang terbiar melarat begini tidak akan membenarkan dirinya didekati.

Saya pernah terfikir untuk menangkap Abby menggunakan jaring untuk dihantar ke klinik swasta bagi mendapatkan rawatan, vaksin serta grooming. Namun, kucing ini takut dengan manusia dan haiwan lain yang difikirkan akan membahayakannya.

Walaupun Abby comot tetapi saya tahu ia adalah kucing yang cantik. Bulu berwarna krim bercampur warna perang.




Abby, antara kucing kampung yang terbiar
Sumber Foto: Koleksi Peribadi




Abby, dari pandangan hadapan
Sumber Foto: Koleksi Peribadi


Kelebihan yang ada pada Abby dan kucing kampung terbiar lain yang datang mencari dry food di sini adalah sikap disiplin. Kucing-kucing ini tidak akan membuang najis merata-merata. Tidak kiralah sama ada di rumah jiran-jiran ataupun di rumah saya tidak terdapat najis kucing-kucing ini.



Kucing yang membuang najis di kawasan rumah
Sumber Foto: Google


Saya sendiri telah beberapa kali terpandang kucing-kucing ini yang sedang enak menikmati dry food secara tergesa-gesa meninggalkan kawasan rumah menuju ke dalam semak di hadapan rumah. Apabila saya perhatikan rupa-rupanya kucing-kucing ini pergi membuang najis dalam semak. Selepas itu, kucing-kucing ini datang semula ke kawasan rumah bagi menyambung menikmati dry food dan air yang sentiasa tersedia di kawasan rumah.

Petua Tercekik Tulang Ikan



Comelnya anak-anak kucing ini!
Sumber Foto: Google

Saya nak share petua mudah jika ada sesiapa yang tercekik tulang ikan. Mudah sangat.

Cari mana-mana kucing yang kita kenal dan ambil tangan kucing (kaki kucing bahagian hadapan) dan gosokkan kat leher kita yang tercekik tulang ikan tadi. InsyaAllah sembuh (dengan izin Allah SWT). Semua kesembuhan datangnya dari Allah SWT. 

Allah SWT berikan kelebihan kepada kucing dalam hal untuk mengatasi masalah tercekik tulang ikan. Jika kita perhatikan memang kucing yang tercekik tulang ikan akan terbatuk beberapa kali sambil tangannya (kaki hadapannya) menggosok-gosok leher yang tercekik tulang ikan.

Saya kerap memerhatikan keadaan ini pada zaman kanak-kanak, ketika saya tinggal dengan arwah datuk dan nenek yang memang 'gilakan' kucing. Kucing terbatuk beberapa kali sambil menggosok tangan (kaki hadapan) di leher dan selepas itu kucing-kucing tu akan okey dan menyambung makan semula. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku sebelum ini.

Thursday, 16 July 2015

Makanan Kucing - Ayam & Ikan



Kucing suka makan ayam (tapi ayam goreng tidak sesuai untuk kucing)
Sumber Foto: Google

Ayam Rebus

Sebenarnya tidak susahpun untuk menyediakan wet food kepada kucing. Saya hanya menyediakan menu yang simple, sama ada ayam atau ikan yang direbus atau grill menggunakan microwave.

Saya tidak meletakkan sebarang garam atau asam keping kepada ayam atau ikan kerana tidak baik untuk kesihatan kucing. Garam boleh menyebabkan kucing mendapat penyakit batu karang. Manakala asam keping pula boleh menyebabkan kucing mengalami diarrhea (cirit-birit) dan kehilangan air dalam badan. Jika tidak segera dirawat diarrhea boleh menjadi punca kepada kematian kucing.

Betapa mudahnya hendak menyediakan ayam atau ikan kepada kucing. Tidak perlu blend dan tidak perlu dimasak dengan jeli. Tetapi jika ada orang yang hendak berbuat demikian boleh juga. Bagi saya yang sibuk memadailah dengan cara penyediaan yang mudah tetapi berkhasiat untuk kucing.

Sebagai contohnya, untuk menyediakan ayam rebus, seekor ayam dipotong lapan. Ayam yang dipotong tidak perlu direbus sekaligus. Saya hanya merebus beberapa bahagian ayam yang dikehendaki. Masa merebus ayam lebih kurang 10 minit sahaja. Kemudiaan padamkan api. Seterusnya, biarkan ayam tersebut masak dengan haba yang panas. Pastikan periuk ditutup untuk mengekalkan haba panas.

Kemudian saya menunggu sehingga ayam sejuk supaya mudah dicarik-carik dan supaya kucing mudah makan. Ini adalah kerana kucing tidak suka makanan yang panas. 

Saya hanya mencarikkan bahagian ayam yang dikehendaki. Bahagian ayam yang belum hendak diberikan kepada kucing tidak perlu dicarik lagi. Bahagian ayam tersebut saya simpan dalam fridge dan dipanaskan semula apabila dikehendaki. 

Seterusnya, air rebusan ayam yang lebih saya tidak dibuang. Air rebusan ayam ini kelihatan seperti kuah sup. Anak-anak kucing saya memang suka air rebusan ayam sehingga licin pinggan dijilatnya.


Ikan Rebus

Bagi menyediakan ikan rebus sama sahaja kaedahnya. Walau bagaimanapun, masa untuk merebus ikan saya kurangkan kepada tujuh minit sahaja. Sebelum memberikan ikan rebus kepada anak-anak kucing, pastikan tulang belakang dan kepala ikan dibuang terlebih dahulu.

Berdasarkan pengalaman saya sendiri, didapati bahawa kucing yang diberi makan ayam rebus cepat naik berat badannya berbanding dengan ikan rebus. Kalau takut kucing anda obes, jangan terlalu kerap memberikan ayam rebus kepada kucing. Memadailah jika diselang seli dengan ikan rebus atau grill.

Kesimpulannya, waktu untuk makan wet food memang dinanti-nantikan oleh anak-anak kucing saya. Kebiasaannya, saya berikan anak-anak kucing makan sekali atau dua kali sehari wet food. Walau bagaimanapun, bergantung kepada permintaan kucing. Ini adalah kerana saya tidak sampai hati menghampakan permintaan kucing yang meminta extra ayam atau ikan rebus. Huhu.


Ikan dan Ayam Grill

Seterusnya, bagi menyediakan ayam grill dan ikan grill menggunakan microwave adalah bergantung kepada jenama dan fungsi microwave itu sendiri. Microwave yang ada di rumah saya adalah jenama Sharp yang mempunyai gabungan fungsi microwave dan grill. Masa yang diperlukan untuk menyediakan ikan grill adalah selama lima minit setengah. Walau bagaimanapun, saya tidak pasti tentang masa yang diperlukan bagi tujuan grill ayam untuk diberikan kepada kucing. Ini adalah kerana saya belum pernah melakukannya lagi. Huhu.

Pencakar Kucing (Cat Scratcher)




Pencakar bentuk tiang yang dilengkapi dengan permainan
Sumber Foto: Google


Kepada pencinta kucing yang ingin memelihara kucing dalam rumah (indoor) adalah disarankan untuk menyediakan cat scratcher kepada kucing. Tujuannya adalah untuk mengelakkan atau mengurangkan tabiat kucing mencakar sofa dan perabot. Ini adalah kerana sifat semulajadi kucing dalam habitat asalnya di hutan, suka mencakar untuk mengasah kuku. Kucing biasanya akan mencakar pokok-pokok yang ada di sekeliling.

Terdapat berbagai-bagai jenis cat scratcher di pasaran. Semuanya bergantung kepada keperluan dan budget masing-masing.

Cat scratcher paling murah yang saya pernah beli adalah berharga RM13. Tetapi diperbuat daripada kotak dan mudah berhabuk.



Cat scratcher yang diperbuat daripada kotak
Sumber Foto: Google

Akibatnya, lantai perlu dibersihkan  dan disapu dengan kerap. Bagi pemilik kucing yang mengidap penyakit athma dan sinusitiscat scratcher begini akan mendatangkan masalah.

Biasanya cat scracther yang diperbuat daripada kotak, didatangkan dengan catnip (sejenis herba yang dipanggil herba kucing galak). Apabila ditaburkan catnip kepada cat scratcher ini, kucing akan aktif bermain.

Dalam kes anak-anak kucing saya, hanya Sussy (male cat) yang menjadi aktif selepas terhidu catnip. Sophie (female cat) tidak menerima sebarang pengaruh daripada penggunaan catnip ini.

80 peratus kucing akan berubah tingkah laku menjadi aktif setelah menghidu catnip. Catnip ini ibarat drug yang akan menjadikan kucing aktif. Walau bagaimanapun, ini adalah drug yang tidak berbahaya untuk dihidu dan dimakan oleh kucing.




Sassy & Cat Scratcher
Sumber Foto: Koleksi Peribadi

Cat scratcher di atas ini pula diperbuat daripada tali guni dan kon (bahagian dalam). Tali guni ini diwarnakan dengan warna pink dan turquosie. Selain daripada itu, terdapat sebiji bola berwarna purple yang turut dibuat daripada tali guni. Harga asal cat scratcher ini  ialah RM75. Selepas diskaun, harga cat scratcher ini ialah RM69.

Sassy, Sussy dan Sophie memang suka memanjat dan mencakar cat scratcher seperti dalam gambar di atas. Sambil memanjat anak-anak kucing akan menepis bola yang asyik tergolek tersentuh kaki.

Seterusnya, saya pernah lihat cat scratcher yang hampir sama seperti dalam gambar di bawah, di sebuah klinik haiwan swasta. Harganya dalam lingkungan RM400. Memang selesa untuk kucing mencakar dan berehat di buaian. Bertuahlah kucing yang dibelikan cat scratcher seperti ini oleh tuannya.



Cat scratcher yang lebih mewah
Sumber Foto: Google

Makanan Kucing - Wet Food


Makanan kucing dalam habitat semulajadinya
Sumber Foto: Google



Makanan kucing dalam habitat semulajadinya
Sumber Foto: Google

Gambar di atas menunjukkan kucing dalam habitat semulajadinya memburu makanan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Antara sumber makanan berdasarkan gambar tersebut adalah burung merpati dan ikan. 

Walau bagaimanapun, dalam entry ini saya ingin berkongsi tentang wet food yang saya pernah berikan kepada anak-anak kucing saya yang dibela secara indoor.

Antaranya, adalah jenama ProDiet yang dijual dalam paket-paket kecil. Wet food jenama ProDiet boleh didapati di pasaraya dan pet shop. Anak-anak kucing saya paling suka perisa seafood dan mackarel.

Harganya ialah RM1.30 dan berat 85 gram. Walau bagaimanapun, wet food ini bukan makanan premium untuk kucing. Wet food ini adalah makanan komersial.

Wet food ini mengandungi sumber protein. Selain itu, wet food ini turut mengandungi jeli yang dapat membekalkan sumber karbohidrat kepada kucing.


ProDiet
Sumber Foto: Google

Walau bagaimanapun, setelah membaca review di internet, saya baru mengetahui bahawa makanan yang baik untuk kucing adalah makanan premium. Oleh itu, saya cuba beralih kepada jenama lain pula yang merupakan makanan premium kepada kucing.

Jenama tersebut ialah Special Cat yang dijual dengan harga RM2.44 dengan berat 95 gram. Jenama ini hanya boleh didapati di pet shop.



Special Cat
Sumber Foto: Koleksi Peribadi

Namun, ketika saya bercuti panjang selama tiga minggu, saya cuba untuk memberikan anak-anak kucing makan ayam rebus. Anak-anak kucing saya memang menggemarinya.

Setiap hari saya berikan anak-anak kucing ayam rebus. Ini menyebabkan berat badan anak-anak kucing tersebut bertambah. Hal ini telah ditegur oleh vet dan meminta saya mengurangkan kuantiti makanan yang diberikan kepada anak-anak kucing. Jika berterusan, anak-anak kucing akan obes.




Ayam rebus yang dicarik
Sumber Foto: Google

Selepas tiga minggu berturut-turut diberi makan ayam rebus, anak-anak kucing saya mulai jemu.

Oleh itu, saya belikan pula ikan kembung di pasar. Ikan-ikan tersebut direbus. Tidak disangka-sangka bahawa anak-anak kucing menggemarinya melebihi ayam rebus. Akibatnya, apabila diberikan semula ayam rebus anak-anak kucing hanya menguis dan meninggalkannya.

Ikan kembung
Sumber Foto: Google

Maka bermulalah era saya menjadi pembeli setia ikan kembung di pasar pada setiap minggu. Leceh juga!

Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari saya tidak dapat membeli ikan kembung kerana stok ikan di pasar pada ketika itu tidak segar.

Jadi saya berikan semula anak-anak kucing makan wet food jenama Special Cat. Namun, anak-anak kucing hanya menguis dan akhirnya berlalu meninggalkan wet food tersebut. Alahai memilihnya anak-anak kucing ni.

Semenjak itu, saya sentiasa akan memastikan bahawa saya membeli ikan kembung sama ada di pasar atau di pasaraya.

Bagi memastikan ikan kembung tahan lama, saya cuba untuk grill ikan tersebut. Masa untuk grill ialah lima minit setengah. Senang sangat-sangat. Ikan lambat basi berbanding dengan ikan rebus. Mungkin kerana ikan yang di grill kering dan tidak berkuah.

Kemudian, berlaku lagi kes iaitu stok ikan kembung di pasar didapati kurang segar, jadi saya cuba beli ikan tamban. Memang banyak tulang.

Tetapi sebelum direbus, saya kelar serong rapat-rapat sehinggakan semua tulangnya putus menjadi bahagian yang kecil-kecil. Anak-anak kucing sukakannya. Mereka tidak tercekikpun. Meow-meow mereka minta tambah lagi ikan. Huhu.



Ikan tamban
Sumber Foto: Google

Dalam pada itu, saya masih  tidak berputus asa mencari wet food dalam tin untuk diberikan kepada anak-anak kucing. Ini sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku emergency yang menyebabkan saya tidak sempat pergi ke pasar atau tidak sempat hendak grill ikan.

Akhirnya, saya menemui jenama Fussie Cat. Alhamdullillah anak-anak kucing sukakannya. Saya beli di pet shop. Harganya ialah RM3.80 dan berat 80 gram. Selain ikan kembung grill, inilah wet food yang menjadi kesukaan anak-anak kucing saya sekarang.

Fussie Cat
Sumber Foto: Koleksi Peribadi

Walau bagaimanapun, selepas cuti hari raya Aidil Fitri pada tahun 2015, bekalan makanan Fussie Cat terputus. Jadi pemilik pet shop mencadangkan jenama lain kepada kucing saya. Jenama tersebut adalah Mongue Natural. Harganya adalah RM3.90. Syukur, kucing-kucing saya sangat menggemarinya. Sehingga kini, untuk wet food, saya berikan ikan kembung segar, Fussie Cat dan Mongue Natural kepada kucing-kucing kesayangan saya. Ketiga-tiga jenis wet food ini diberikan secara berselang seli.



Mongue Natural
Sumber Foto: Google

Wednesday, 15 July 2015

Kucing Terbuang


Kucing Terbuang
Sumber Foto: Google



Kucing Terbuang
Sumber Foto: Google


Kisah banjir pada penghujung tahun 2014 banyak mengamit kenangan. Terutamanya kenangan yang menyedihkan. Berapa ramai orang yang kehilangan ahli keluarga dan harta benda. Semua itu memerlukan masa untuk melupakan segala keperitan dan kepiluan. Takziah kepada keluarga mangsa yang telah kehilangan ahli keluarga terdekat dan juga saudara mara.

Di sebalik cerita sedih pada penghujung tahun 2014, perkara yang terjadi kepada saya adalah sebaliknya. Saya telah memperoleh 'harta' yang tidak ternilai harganya. Inilah anugerah Allah SWT. 'Harta' tersebut adalah tiga ekor kucing siam (silang kucing siam dan kucing kampung) yang sangat comel.

Alkisah ceritanya, beberapa hari selepas pulang daripada hotel (tempat untuk transit ketika banjir) saya terdengar bunyi baby cats mengiau-ngiau. Suara yang sangat halus dan seperti kelaparan. Meow-meow. Kedengaran seperti lebih daripada seekor. Saya meminta anak pergi tengok adakah anak kucing kampung atau anak kucing liar yang kelaparan. Tetapi saya diberitahu bahawa semua anak kucing tersebut berada dalam kawasan rumah jiran-jiran.

Sehinggalah pada suatu hari saya bertanya kepada jiran-jiran, saya diberitahu bahawa selepas banjir ada orang yang buang baby cats di kawasan rumah kami. Maka dengan itu, saya dan anak adopt baby cats tersebut setelah mengetahui ianya tidak bertuan. Saya telah berikan nama kepada baby cats tersebut.



Baby cat, Sassy
Sumber Foto: Koleksi Peribadi



Baby cats, Sassy dan Sussy
Sumber Foto: Koleksi Peribadi



Baby cats, Sassy dan Sophie
Sumber Foto: Koleksi Peribadi

Ketiga-tiga ekor baby cats berumur dalam lingkungan sebulan lebih ketika saya dan anak adopt mereka. 

Kami bawa baby cats  ke klinik haiwan kerajaan untuk suntikan vaksin. Tetapi belum boleh kerana belum cukup umur tiga bulan. Oleh itu, baby cats  hanya diberi ubat cacing dalam bentuk cecair.

Namun, belum sempat baby cats mencecah umur tiga bulan, mereka telah diserang penyakit FDL (leukimia). Ini bermakna baby cats belum sempat menerima suntikan vaksin. Bagi tujuan rawatan segera, saya menghantar baby cats  ke klinik swasta.

Sophie dirawat sebagai pesakit luar, manakala Sassy dan Sussy dimasukkan ke wad. 

Walau bagaimanapun, Sassy tidak dapat diselamatkan dan mati dalam wad. Sedih.

Sophie pula walaupun selamat tetapi  menjadi bisu. Ia tidak dapat mengiau meow-meow seperti kucing yang normal. 

Ia hanya dapat mengeluarkan bunyi aak..aak..aak apabila hendak berkomunikasi dengan manusia.

Monday, 13 July 2015

About

Blog ini dibina bertujuan untuk berkongsi minat tentang kucing dan bahan pengajaran dan pembelajaran (PdP). 



Sumber Foto: Google

Perkongsian pengalaman tentang kucing terdapat pada label Kucing. Manakala pengkongsian bahan PdP terdapat pada label subjek masing-masing. 

Subjek tersebut adalah (i) Guru dan Cabaran Semasa (EDU3093), (ii) Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru (EDU3083), dan (iii) Kemahiran Belajar (GKB1053).


Sumber Foto: Google

Oleh kerana blog ini masih dalam proses pembinaan, terdapat label yang masih kosong kerana belum upload bahan PdP. Sebarang cadangan dan komen yang membina adalah dialu-alukan.

Sekian. Terima Kasih.

Emma Q.